Irama nasyid sudah dikenali
di Malaysia sejak munculnya kumpulan-kumpulan seperti “Al-Jawaher, El-Suraya,
Al-Mizan, Orkes Sinar Murni” dan seumpamanya yang kebanyakannya terdiri dari
kalangan wanita.
Perkembangan itu juga selari
dengan munculnya kumpulan-kumpulan nasyid yang bergerak secara ‘indie’ atau
‘underground’ yang dipelopori oleh Jemaah Al-Arqam dalam era tahun 80-an.
Akhirnya, kewujudan genre yang bermatlamat murni ini mula disedari masyarakat umum
secara keseluruhannya apabila “Raihan” menjengah dunia komersial industri muzik
tanah air dengan album pertama mereka Puji-pujian yang mendapat sambutan luar
biasa sehingga tercatit di dalam Malaysia Books of Records sebagai album paling
laris jualannya yang masih belum dapat dipecahkan oleh sesiapa pun artis di
Malaysia hatta Mawi sekalipun. Unit jualan yang dicatatkan pada ketika itu
adalah 600,000 unit dan tidak mustahil, sehingga kini sudah mencecah 1 juta
unit.
Apabila kita mengkaji dan
menilai, bertanya dan mempersoal, apakah ciri-ciri kejayaan jualan tersebut,
banyak faktor yang kita boleh catitkan antaranya kelainan, pembaharuan,
kontroversi, lagu yang menarik, melodi yang easy-listening dan banyak lagi.
Namun hakikatnya, disebalik faktor-faktor fizikal tersebut, terdapat satu
faktor besar yang kurang mendapat perhatian umum kerana sifatnya yang tidak
nyata iaitu IKHLAS. Sifat Ikhlas diibaratkan sepert “seekor semut hitam, yang
berjalan di atas batu yang hitam dalam gua yang gelap dalam malam yang gelap
pekat”. Mengapa sifat ikhlas yang dibangkitkan sebagai salah satu faktor
kejayaan Raihan sekiranya sifat itu diibaratkan sebagai satu yang sangat sukar
dilihat? Di sini dihuraikan falsafahnya.Raihan adalah kumpulan nasyid pertama
yang cuba keluar dengan album dalam dunia komersial tanpa ada sebarang rujukan
tentang jualannya, sambutannya, konsepnya, adakah mereka akan diterima atau
pelbagai persoalan lagi. Namun, mereka mengambil risiko ini untuk menjadi
perintis kepada memperkenalkan irama ini kepada ruang lingkup yang lebih luas
lagi. Adakah sewaktu mereka bergerak secara underground mereka tidak ikhlas?
Bukan ini persoalannya, zaman underground sudah pasti mereka ikhlas dan tujuan
utamanya adalah tetap berdakwah. Mungkin kalau kita kaji jualan album
underground mereka pun jualannya tidak mustahil sudah mencecah jutaan unit
semuanya. Apa yang ingin kita bincangkan di sini ialah dunia nasyid pasca
komersial. Maka muncullah mereka dengan sebuah album yang menggunakan konsep
perkusi semata-mata.
Kalau kita kaji dengan logik akal, seperti mana yang penasyid-penasyid kini sering hujjahkan, jika kita ingin menarik kumpulan pendengar yang lebih luas, kita perlu mengikut arus muzik semasa, maka jelaslah teori itu langsung tidak dipraktikkan oleh Raihan pada ketika itu kerana muncul dengan muzik yang boleh dianggap outdated oleh kita sekarang. Kenapa dengan menggunakan teori yang salah, namun hasil kejayaan Raihan tercatit dalam sejarah? Sehingga dengan muzik outdated itu, mereka diperkatakan sehingga keluar Negara? Sehingga berita mengenai mereka muncul di dalam berita-berita televisyen dan akhbar luar Negara? Sehingga Prince Charles ingin menyaksikan persembahan mereka? Di sini bermulalah kupasan isu antara populariti dan prinsip. Dapatlah kita simpulkan di sini, sebagai Muslim dan Mukmin, kita tidak boleh berpegang dan yakin dengan teori logik akal semata-mata tanpa meletakkan kehendak Allah, keizinanannya dan Kuasanya yang menentukan natijah kerja dan usaha kita.
Teringat penulis seorang
pensyarah Biologi di Pusat Matrikulasi yang mewajibkan pelajar meletakkan ayat
“by Allah’s will” dalam setiap jawapan teori-teori biologi yang dipelajari
ketika itu. Di sinilah prinsip pertama kita sebagai penasyid yang membezakan
kita dengan prinsip artis biasa yang selalunya diwajibkan oleh production
house; wajah yang menarik, muzik dan lagu yang sedap, bakat yang ada walaupun
sedikit.Perbetulkan niat dan keyakinan pada kehendak AllahKembali kepada topik,
hakikatnya album yang dikeluarkan Raihan pada ketika itu, jelaslah mendapat
sambutan dengan sebab utamanya keizinan dan kekuasaan Allah yang menentukannya.
Bertitik-tolak dari keikhlasan mereka, mereka menyerahkan segalanya pada
Kekuasaan Allah, bukan pada teori dan logic akal dan nafsu. Hati-hati manusia
di gerakkan oleh Allah, keinginan mereka membeli album ini, digerakkan oleh
Allah, liputan media yang meluas ditentukan oleh Allah, Allah membuka hati
ramai orang untuk melihat dan mendengar hasil kerja mereka ini. Hatta beberapa
non-Muslim yang akhirnya memeluk Islam asbab mendengar lagu Raihan juga dibuka
hati mereka oleh Allah. Sehinggakan non-muslim dari luar Negara yang tidak
faham bahasa melayu, ada yang memeluk Islam mendengar lagu Raihan yang mereka
tidak faham sepatah pun, juga kerana kekuasaan Allah yang membuka hati
mereka.Maka, kesimpulannya, sebelum seseorang penasyid, ingin keluar dengan
album baru dan mengakui diri mereka sebagai pendakwah, menjadi kewajipan kepada
mereka untuk berniat, sebagaimana kita memulakan sesuatu ibadah dengan niat,
hendak solat kita berniat, hendak puasa kita berniat, hendak berdakwah melalui
nasyid kita mulakan juga dengan niat.
NIAT YANG
IKHLAS untuk berdakwah kepada Allah.....
Penasyid harus memusatkan
niat mereka untuk berdakwah melalui nasyid yang bakal mereka bawa. Penasyid
harus meletakkan keyakinan mereka pada kehendak Allah dan bantuannya sehingga
ke tahap sekiranya mereka meletakkan satu album yang tidak sedap lagunya, tidak
hebat vokalnya, tidak up-to-date muziknya, tidak menarik wajahnya di pasaran,
namun niat mereka Ikhlas kerana Allah, album itu mampu untuk meletup atas
kehendak dan kekuasaan Allah yang hanya mengatakan “Kun fayakun”. Bukanlah
tujuan penulis untuk menggalakkan hasil produksi yang tak berkualiti. Membuat
kerja yang terbaik dan menghasilkan suatu yang terbaik adalah sangat digalakkan
dalam Islam, Cuma ingin dihuraikan disini teori niat dan yakin pada kehendak
Allah. Lebih cantik lagi sekiranya penasyid tersebut membuat satu album yang
terbaik kualitinya dan beri’tikad dengan kualiti niat yang terbaik. Kita
sebagai penasyid dan mungkin bakal penasyid, termasuk penulis sendiri, marilah
kita renung jauh ke dalam diri kita sendiri, dalam 100% pecahan niat kita
berapa peratuskah hakikatnya kita peruntukkan untuk menjadikan kerja kita ini
sebagai dakwah. Sekiranya kita buatkan carta pai mungkinkah 10% untuk dakwah,
30% untuk duit, 40% kerana minat muzik, 20% kerana ingin popular dan disanjung.
Atau banyak lagi pecahannya. Cuba kita renungkan secara telus dan amanah kepada
diri kita sendiri, bagaimana pecahan peratusan kita? Atau mungkinkah 70% untuk
popularity, atau 100% untuk wang, atau 100% kerana Allah, jika ada
Alhamdulillah.Renungkanlah sejenak untuk kebaikan diri kita sendiri, dan
kebaikan genre nasyid tanahair yang kian suram dan tidak efektif dasawarsa ini.
No comments:
Post a Comment